Kisah kami bermula dengan…
Sebuah angan – angan mudah untuk pendiri bisnes kecil dan sederhana di Malaysia (Baca: ya, pemilik kedai kek, baju, alat tulis, pencetak, kedai runcit, kedai makan di sekeliling kita) memahami kuasa data dalam dunia digital. Sayang benar rasanya apabila kuasa sebenar data itu tidak digali sepenuhnya walaupun bagi mereka yang fasih digital.
Kami selalu berfikir, apakah 10 tahun lagi, kedai – kedai kecil dan sederhana akan mati ditelan arus zaman? Dan, bisnes – bisnes yang kita biasa lihat dan membesar bersama-sama kita sejak kecil itu, akan lupus? Lupus dan luput ditelan masa dek tiada kemampuan berpindah ke dunia digital. Jika sudah pun berada di pintu dunia digital, apakah kita akan selamat sebelum ditelan mereka yang lebih besar, lebih berstruktur dan bersistem. Juga terfikir, akan wujudkah lagi mereka kerana dunia masa akan datang boleh sahaja terbahagi kepada dua; dunia untuk mereka yang fasih digital dan mereka yang ingin kekal dalam dunia fizikal, dan bukan digital.
Maka, kami wujudkan CelikData.com ini untuk merapatkan jurang dua dunia ini. Angan-angan kami untuk membina kemampuan syarikat – syarikat kecil dan sederhana menongkah arus dunia digital dan memahami kuasa data yang mereka sudah pun ada dan dapatkan melalui operasi bisnes mereka. Lalu, seterusnya bagaimanakah mengurus data itu sebagai sebuah aset yang strategik. Aset yang akan membuatkan operasi bisnes kita lebih lancar, memberi pulangan lebih serta membuka laluan dan cabang bisnes baru.
Mengurus data dengan strategik?
Iya… yang kita biasa dengar, aset bisnes itu adalah resepi rahsia turun-temurun, kilang, tanah, kedai, pekerja – pekerja dan benda – benda yang kita dapat nampak dengan mata kasar.
Namun, kita lupa, dalam dunia digital ini, aset – aset bisnes kita juga termasuk laman web, kedai – kedai online, dan juga data yang tersimpan dalam telefon atau di pejabat kita itu. Rekod duit keluar masuk bisnes kita dengan bank, data – data pelanggan kita, data pergerakan stok dan bahan mentah, kontrak dengan pembekal, dan macam – macam lagi.
Sejujurnya, data bukanlah hanya semata – mata nombor, tetapi cerita – cerita di sebalik nombor itulah yang membantu kita membuat keputusan dengan lebih baik.
Bisnes dengan kuasa data itu seperti kita memandu kereta dengan dashboard, cermin belakang, cermin tengah dan cermin sisi yang berfungsi. Semuanya sudah pun ada dalam kereta, yang penting kita tahu bagaimana menggunakannya.