Celik Data

Bukan Sekadar Nombor

Mulakan kisah kita di sini

Apa yang kita tahu dan biasa data itu hanyalah nombor 1 2 3 dan berikutnya.

Yang kita belum tahu, data itu juga gambar, video, dan teks yang membentuk ayat lalu membina satu naratif untuk kisah-kisah kita.

Kisah kami bermula dengan…

Sebuah angan – angan mudah untuk pendiri bisnes kecil dan sederhana di Malaysia (Baca: ya, pemilik kedai kek, baju, alat tulis, pencetak, kedai runcit, kedai makan di sekeliling kita) memahami kuasa data dalam dunia digital. Sayang benar rasanya apabila kuasa sebenar data itu tidak digali sepenuhnya walaupun bagi mereka yang fasih digital.

Kami selalu berfikir, apakah 10 tahun lagi, kedai – kedai kecil dan sederhana akan mati ditelan arus zaman? Dan, bisnes – bisnes yang kita biasa lihat dan membesar bersama-sama kita sejak kecil itu akan lupus? Lupus dan luput ditelan masa dek tiada kemampuan berpindah ke dunia digital. Jika sudahpun berada di pintu dunia digital, apakah kita akan selamat sebelum ditelan mereka yang lebih besar, lebih berstruktur dan bersistem. Juga terfikir, akan wujudkah mereka yang akan tertinggal kerana dunia masa akan datang boleh sahaja akan terbahagi kepada dua; dunia untuk mereka yang fasih digital dan mereka yang ingin kekal dalam dunia bukan digital.

Maka, kami wujudkan CelikData untuk merapatkan jurang dua dunia ini. Angan-angan kami untuk membina kemampuan syarikat – syarikat kecil dan sederhana menongkah arus dunia digital dan memahami kuasa data yang mereka sudah pun ada dan dapatkan melalui operasi bisnes mereka. Lalu, seterusnya bagaimanakah mengurus data itu sebagai sebuah aset yang strategik. Aset yang akan membuatkan operasi bisnes kita lebih lancar, memberi pulangan lebih serta membuka laluan dan cabang bisnes baru.